Isnin, 14 Mac 2011

Tafsir surah al-Fatihah 2

salam...alhamdulillah pg ni masuk keje...tp sunyi sikit le pslnya ramai yang cuti, anak cuti sekolah mak & pak pon cuti jgk le. Ini lah masa untuk bwk anak2 blk kg @ cuti2 Malaysia. Insyaallah ada sambungan tafsir surah al-Fatihah.....

Tafsir Surah Al-Fatihah

Surah Al-Fatihah (Pembukaan) , Ayat 1 hingga 7 , Juzuk Pertama Al-Quran dan diturunkan di Mekah.


أعوذ باالله من الشيطان الرجيم

Aku berlindung dengan Nama Allah dari Syaitan yang direjam

{1} بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيم

Dengan Nama Allah yang Maha Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ {2}

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, tuhan seluruh alam

الرَّحمَنِ الرَّحِيمِ {3}

Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

مَالِكِ يَومِ الدِّينِ {4}

Yang Menguasai Hari Akhirat (Hari Pembalasan)

اِيَّاكَ نَعبُدُ وَاِيَّاكَ نَستَعِينُ {5}

Hanya kepada Engkaulah kami sembah (tidak kepada selain-Mu) dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan (tidak kepada selain-Mu)

{6} اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Tunjukkanlah kami akan jalan yang lurus (benar)

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّين {7}

Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat dan bukanlah jalan orang yang Engkau murkai (Yahudi) atau jalan mereka yang sesat (Nasrani)

Perihal Ayat Surah Al-Fatihah

Sesungguhnya disepakati oleh para ulama’ ummah bahawa Surah ini mempunyai 7 ayat kecuali apa yang diriwayatkan dari Husain Al-Ju’fi bahawa ianya 6 ayat dan riwayat ini syadz (diragui) juga yang mengatakan ianya 8 ayat dan pendapat ini pun juga lemah (lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 22 Jilid 1). Dipegang oleh jumhur bahawa ianya 7 ayat sebagaimana disebut dalam firman Allah : وَلَقَدْ آتَيْنَاكَ سَبْعاً مِّنَ ٱلْمَثَانِي وَٱلْقُرْآنَ ٱلْعَظِيمَ “Dan kami telah berikan kepada engkau (Muhammad), 7 ayat dari Masani (yang dibaca berulang-ulang) dan Al-Quran yang agung.” (Surah Al-Hijr : 87).

Demikianlah pendapat jumhur menetapkan Al-Fatihah sebagai mempunyai 7 ayat termasuk meletakkan bismillah (بسم الله الرحمن الرحيم) sebagai ayat yang pertama.

Sejarah Penurunan Ayat

Ianya diturunkan di Makkah dan termasuk ayat Makkiyah menurut pegangan Ibn Abbas ra dan Qatadah serta Abu Ali’yah. Manakala menurut pendapat yang dipegang oleh Abu Hurairah ra, Mujahid, Atho dan Zuhri pula mengatakan ianya diturunkan di Madinah. Juga dikatakan ianya diturunkan di Makkah sebahagiannya dan di Madinah sebahagian yang lain seperti yang disebut oleh Abu Laits Nasir ibn Muhammad bin Ibrahim As-Samarqandi dalam tafsirnya. Namun yang paling benar ialah pendapat yang pertama kerana ianya terdapat dalam Surah Al-Hijr dalam ayat “Dan kami telah berikan kepada engkau (Muhammad), 7 ayat dari Masani (yang dibaca berulang-ulang) dan Al-Quran yang agung” (Surah Al-Hijr:87).

Sesungguhnya Surah Al-Hijr ini termasuk surah Makkiyah juga sesungguhnya telah difardhukan solat sejak di Makkah lagi , dan solat itu dilakukan dengan membaca Al-Fatihah sebagaimana sabda baginda nabi :

لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب

“ Tidak ada solat tanpa membaca Al-Fatihah” (hadith riwayat Bukhari no. 756 dan Muslim no. 394 , Ahmad no. 428 Jilid 2, Tirmidzi no.247, Darimi no. 283 Jilid 1 ). Juga dikeluarkan oleh Al-Wahidi dalam Ashab Nuzul dan Sa’labi dalam tafsirnya dari riwayat Ali ra bahawa Al-Fatihah diturunkan di Mekah (Asbab Nuzul oleh Wahidi m/s 10).

Diriwayatkan oleh ahli ilmu bahawa ianya 25 kalimah dan hurufnya berjumlah 113 huruf. Dan menurut hadith yang diriwayatkan oleh Baihaqi menyatakan ianya merupakan surah terawal yang diturunkan seperti dalam kitabnya Dala’il Nubuwah. (lihat Muktasar Tafsir Ibn Katsir m/s 23 Jilid 1). Tetapi pandangan ini tidaklah tepat dan hadithnya tidaklah kuat namun ianya sekadar membantu untuk mengatakan ianya (Surah Fatihah) termasuk Makkiyah.

Nama-nama bagi Surah Al-Fatihah

Al-Fatihah, (الفاتحة) Pembuka, sesungguhnya nama ini merupakan nama yang paling masyhur digunakan bagi merujuk kepada surah ini. Ianya disebut tanpa ada khilaf dikalangan ulama’ sebagai Fatihah kerana ianya dibaca sebagai pembuka kepada bacaan Al-Quran dan diletakkan pada awal dan permulaan surah dalam mashaf . Juga dibuka solat dengannya (Fatihah) (lihat Jami’ Ahkam Al-Quran m/s 116 Jilid 1 & Mukhtasar Ibn Katsir m/s 22 Jilid 1).

Ummul Kitab,(أم الكتاب) Ibu Kitab, disebut Surah Al-Fatihah dengan panggilan Ummul Kitab merupakan satu perkara yang dilakukan oleh ramai orang dan jumhur ulama’ . Walaubagaimana pun pemakaian nama “Ummul Kitab” ini wujud khilaf kerana dibenci dan ditegah oleh sahabat seperti Anas dan tabien seperti Ibn Sirin dan Hasan Al-Basri sebagaimana mereka berpendapat istilah ummul kitab itu hanya khusus kepada Lauh Mahfuz sebagaimana dalam ayat 4 Surah Az-Zukhruf . Namun sesungguhnya penggunaan nama Ummul kitab kepada surah fatihah mempunyai hujah dan dalil yang sabit (jelas) dari pertunjuk nabi sallahualahiwasalam seperti yang pernah disebut oleh baginda melalui riwayat Abu Hurairah ra bahawa rasulullah pernah bersabda :

الحمد لله رب العالمين أم القرأن وأم الكتاب والسبع المثاني والقرأن العظيم

“ Segala puji hanyalah bagi tuhan sekalian alam, Ummul Quran dan Ummul Kitab serta Sab’u Masani dan Al-Quran yang agung.” (Hadith Sahih riwayat Bukhari no. 4704, dlm bab Tafsir, Kitab fathul Bari Jilid 12 ).

Ummul Quran, (أم قرأن) Ibu Kitab, juga disebut sebagai Ummul Quran sebagaimana hadith yang telah dinyatakan sebelumnya ( أم القرأن ). Selain itu, ianya dijadikan sebagai pemula dalam Quran, dibaca sebagai pemula dalam solat, dan berkata Yahya ibn ya’mar bahawa ianya : Ummul Qura’ kerana diturunkan di Makkah, dan ummul Quran. (Jami’ Ahkam Quran m/s 116 Jilid 1).

Juga disebut sebagai “Solat”, ( الصلاة) sebagaimana dalam hadith Qudsi riwayat Abi Hurairah bahawa rasul salallahualaihiwasalam bersabda bahawa Allah swt berfirman : الصلاة بيني و بين عبدي نصفين قسمت “ Sesungguhnya aku bersumpah dengan Solat bahawa antara aku dan hambaku baginya dua bahagian” (Hadith Sahih, riwayat Muslim dalam bab solat Musafir, no.395 & Abu Daud no. 861).

Al-Hamd (الحمد) Pujian, juga disebut Surah Al-Hamd, kerana padanya disebut ayat al-hamd (lihat Jami’ Ahkam Quran m/s 116). Juga sebagaimana dalam hadith Qudsi riwayat Abi Hurairah bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda bahawa Allah swt berfirman :

الله حمدني عبدي فاذا قال العبد الحمد لله رب العالمين قال

“ Dan bila hambaku berkata segala puji bagi Allah tuhan sekalian Alam , maka Allah pun berfirman hambaku sedang memuji aku.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim dalam bab solat Musafir, no. 395 & Abu Daud no. 861).

Sab’ul Masani, ( والسبع المثاني ) digelar sedemikian kerana dikhususkan bacaannya pada setiap rakaat dalam solat serta dibaca secara berulang-ulang saban hari dan tiap solat. Juga disebut sedemikian kerana distimewakan ummat ini dengannya dan tidak diturunkan kepada ummat sebelumnya . (Jami’ Ahkam Quran m/s 117 Jilid 1).

Al-Qur’an Al-Azim, (القرأن العظيم) disebut sedemikian kerana ianya mengandungi pemujian kepada nama Allah swt dengan menyifatkannya dengan segala kesempurnaan dan ketinggian dan perintah pengibadatan dan keikhlasan. (Jami’ Ahkam Quran m/s 117 Jilid 1).

As-Shifa’,(الشفاء) Penyembuh, diriwayatkan oleh Ad-Darimi’ dari Abi Sa’id Al-Khudri bahawa diriwayatkan rasulullah pernah bersabda “ Fatihatul Kitab ini penyembuh dari segala racun.” (Diriwayatkan oleh Darimi’ dalam Fadha’il Quran 445/2 no. 5826).

Ar-Ruqiyyah (الرقية) Perlindungan, jampi dan penawar, diriwayatkan dari hadith Abi Sa’id Al-Khudri bahawa rasulullah pernah bersabda kepada seorang lelaki dengan sabda-nya “ Apakah kamu tidak tahu bahawa sesungguhnya ia adalah ruqqiyah (jampi ? penawar) ?”. (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 2276 & Muslim 2201 ).

Al-Asas, (الأساس) sebagaimana yang disebutkan oleh Sya’bi “ Setiap perkara itu mempunyai asasnya dan katanya, asas Al-Quran itu ialah surah Al-Fatihah dan asas Al-Fatihah ialah Bismillah.” (lihat Jami’ Ahkam Quran m/s 117 Jilid 1 & Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 22 Jilid 1).

Perihal Istia’zah (الأستعاذة)

أعوذ باالله من الشيطان الرجيم

Aku berlindung dengan Nama Allah dari Syaitan yang direjam

Sesungguhnya meminta perlindungan dari Allah terhadap segala keburukan dan kejahatan merupalkan kewajipan kepada setiap muslim. Bahkan ianya termasuk perkara ibadah dan penghambaan seseorang kepada Allah dengan menjadikan Allah sebagai pelindung dan tempat memohon segala sesuatu. Seperti firman Allah swt dalam Al-Qur'an :

وَقُلْ رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ ٱلشَّياطِين

“ Dan berkatalah kepada tuhan; aku memohon perlindungan dari bisikan syaitan-syaitan.” (Surah Mukminun : 97).

Begitu juga dalam firman Allah swt yang lain :

فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ إِنَّهُ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

“ Maka mintalah perlindungan dari Allah sesungguhnya Dialah Maha Pendengar dan Maha Mengetahui.” (Surah Fusilat : 36).

Mengenai masalah istiazah dan memohon perlindungan Allah dari gangguan Iblis dan syaitan maka para ulama’ menyebut bahawa ianya dilakukan selepas membaca Al-Quran dan berpegang pada zahir ayat yang memerintahkan supaya beristiazah Manakala menurut Al-Qurtubi yang mengambil riwayat dari Abu bakr bin Al-Arabi (Ibnul Arabi) dan dari ulama’ Malikiyah menyatakan sesungguhnya dibaca istiazah dan memohon perlindungan dari syaitan selepas membaca Fatihah.

Bagaimanapun jumhur (sebahagian besar ulama’ ) memegang pendapat bahawa istiazah dilakukan sebelum membaca Al-Quran demi mempertahankan gangguan syaitan. Bahkan sebagai menuruti firman Allah swt :

فَإِذَا قَرَأْتَ ٱلْقُرْآنَ فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيْطَانِ ٱلرَّجِيمِ

“ Dan jika kamu membaca Al-Quran maka mohonlah perlindungan Allah dari syaitan yang direjam.” (Surah An-Nahl :98). Ayat ini membawa makna jika kamu ingin membaca Al-Quran yakni amalan membaca itu belum dilakukan tapi jika akan dilakukan seperti mana ayat :

: إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلاةِ فٱغْسِلُواْ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ

“ Dan jika kamu mendirikan solat maka hendaklah kamu basuh muka dan kedua tangan kamu” (Surah Al-Mai’dah :6).

Ayat ini menunjukkan jika ingin menunaikan solat hendaklah terlebih dahulu berwudhuk dan sudah tentu wudhuk mesti dibuat sebelum solat. Maka demikianlah ditafsirkan bagi ayat membaca istiazah terlebih dahulu sebelum membaca Al-Quran.

Jumhur Ulama’ bersepakat mengatakan bahawa Istiazah dilakukan sebagai sunnah dan tidaklah sampai ke tahap wajib dan berdosa jika ditinggalkan.Namun diriwayatkan dari Atho ibn rabih akan bahawa ianya wajib dibaca dalam solat dan diluarnya ketika ingin membaca Al-Quran. Maka berkata pula Ibn Sirrin ra bahawa jika kamu beristiazah sekali sepanjang hayat maka sesungguhnya telah menggugurkan perintah istiazah sebagaimana yang diperintahkan dalam Quran Surah An-Nahl ayat 98 tadi.

Menurut Imam Syafie ra bahawa dalam bacaan di kuatkan membacanya dan jika diperlahankan (dibaca secara sirr, rahsia) pun tidak mengapa seperti dalam kitabnya Al-Umm dengan memberikan pilihan kerana Ibn Umar membacanya secara perlahan (sirr) dan Abu Hurairah pula membacanya secara lantang.

Makna Istiazah

Istiazah bermaksud meminta perlindungan dan pertolongan kepada Allah dari gangguan Syaitan dan godaannya dan ianya merupakan satu perintah umum kepada semua manusia. Sabda rasulullah kepada Abi Zar ra :

يا أ با ذر, تعوذ با الله من شياطين الأنس والجين, فقلت أو للأنس شياطين ؟ قال : نعم .

“ Wahai Abu Dzar, Mintalah perlindungan kepada Allah dari Syaitan manusia dan syaitan dari jin”. Lalu aku pun bertanya apakah ada Syaitan dari kalangan manusia ? Baginda pun menjawab : Ya (Hadith Hasan Lighairih, riwayat Ahmad no.2136 & An- Nasaie no. 275 Jilid 8 ).

Cara Pembacaan Istiazah

Menurut Imam Syafi’e dan Abu Hanifah ra pada ta’a’uz ialah dengan cara membaca :

اعوذباالله من الشيطان الرجيم

“ Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam.”(Hadith Sahih, Tirmidzi no. 3696 & Abu Daud no. 4781) dan mereka berpendapat cukup berpada dengan kadar demikian. Namun menurut para ulama’ yang lain dibenarkan menambah sekadar yang terdapat dalam dalil dan pertunjuk dari sunnah rasulullah. Seperti yang diriwayatkan dari rasulullah salallahualaihiwasalam yang pernah membaca dengan menyebut :

أعوذباالله السميم العليم من الشيطان الرجيم

“Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari Syaitan yang direjam” (Hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 775).

Juga bacaan seperti :

الشيطان الرجيم من همزه ونفخه و نفثه أعوذباالله من

“ Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam dari bisikannya, tipu helahnya dan dari gangguannya” (Hadith Hasan, riwayat Abu Daud 764 & Ibn. Majah 804).

Manakala dalam bab membaca istiazah dalam solat maka menurut Imam Abu Hanifah dan Muhammad (anak muridnya) megatakan ianya dibaca. Dan jumhur mengatakan ianya dibaca selepas takbir iaitu sebelum Fatihah.

Mengenai hal ini para ulama’ mengatakan membaca istiazah dalam solat ialah sunnat yang sangat dituntut dan demikian pendapat jumhur kerana berdalilkan pada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id AL-Khudri bahawa rasul jika bangun malam akan bertakbir kemudian membaca doa iftitah lalu beristiazah dengan membaca :

أعوذباالله السميم العليم من الشيطان الرجيم من همزه ونفخه و نفثه

“Aku berlindung dengan Allah yang Maha Pendengar lagi Maha Mengetahui dari Syaitan yang direjam dari bisikannya dari tipu helahnya dan dari dirinya.” (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi 242 & Ibn Majah 604).

Ianya dilakukan sebelum membaca bismillah dan Al-fatihah demikian menurut pendapat jumhur (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 332 Jilid 1). Walaubagaimana pun saya menganggap membaca istiazah dalam solat dan sebelum memulakan bacaan Al-Quran sebagai wajib sebagai ihtiyat (berhati-hati) kerana disebut secara amar (perintah) dalam Al-Quran perintah beristiazah melalui firman Allah :

فَإِذَا قَرَأْتَ ٱلْقُرْآنَ فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيْطَانِ ٱلرَّجِيمِ

“Dan jika kamu membaca Al-Quran maka mohonlah perlindungan Allah dari syaitan yang direjam.” (Surah An-Nahl :98).

Para ulama’ menyebut melalui kaedah usul bahawa meminta perlindungan Allah dari syaitan itu wajib bagi setiap muslim dan muslimat dan dengan membaca istiazah dapat menghalang gangguan syaitan maka membacanya wajib demi mencapai tujuan menghalang gangguan syaitan sebagaimana kaedah :

ما لا يتم الواجب الا به فهو الواجب

“Apa-apa yang dengannya diperlukan bagi menyempurnakan perkara wajib maka ianya pun menjadi wajib” (Lihat Al-Wajiz fi Syarah Qawa’id Fiqhiyah fi Syariah Islamiyah m/s 181 ).

Dan para ulama’ yang mengatakan membaca istiazah itu wajib dalam solat ialah Atho ibn Rabih ra dan As-Sauri serta Auzaie dan Imam Daud Az-Zahiri dan Ibn Hazm Az-zahiri serta juga dari riwayat Ahmad (lihat Al-Muhalla’ m/s 247 Jilid 3 dan Majmuk m/s 281 Jilid 3).

Ianya dibaca secara sirr (perlahan) kerana tiada dalil nabi salallahualaihiwasalam dan para sahabat membacanya secara jahar (kuat/ lantang) bahkan para khulafah ar-rasyidun juga membacanya secara sirr cuma dibenarkan oleh ulama’ untuk membacanya secara jahar (kuat) sekali-sekala sebagai memberi didikan kepada makmun demikian menurut pendapat Ibn Abbas ra dan pendapat ulama’ seperti Imam Nawawi. (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 332 Jilid 1).

Imam Syafie mengatakan ianya iaitu istiazah dibaca setiap rakaat sebelum memulakan bacaan Quran dalam solat sebagai hukum sunnat namun pendapat yang dipilih ialah membaca pada setiap rakaat sebelum memulakan bismillah dan Al-Fatihah.

Bismillahirahmanirahim

Syarah Ayat 1 بِسمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ {1}

Dengan Nama Allah yang Maha Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dimulakan pembacaan Al-Quran oleh para sahabat dengan membaca bismillah dan para ulama’ bersepakat mengatakan ianya sebahagian ayat dari Surah An-Naml dan mereka khilaf (berbeza pendapat) adakah ianya termasuk surah Al-Fatihah dan termasuk ayat dari surah-surah Al-Quran pada pemulaan.

Sepakat ahli qura’ (Ahli bacaan Al-Qur’an) Makkah dan Kufah bahawa ianya termasuk ayat dari Surah Al-Fatihah manakala ahli Madinah dan Basrah serta Syam pula berpegang bahawa ianya bukan sebahagian dari Surah Fatihah. Antara golongan yang mengatakan ianya ayat yang termasuk dalam surah Al-Fatihah dan termasuk ayat setiap surah dalam Al-Quran (dibaca pada permulaan) kecuali Bara’ah ialah Ibn. Abbas ra, Ibn Umar ra, Ibn Zubair ra, Abu Hurairah dan Ali Ibn Abi Thalib ra serta sebahagian besar sahabat ra.

Di kalangan tabien pula yang memegang pendapat yang sama ialah Atho, Thawus, Said Ibn Jubair, Makhul dan Zuhri dan juga apa yang diriwayatkan dari Abdullah Ibn Mubarak serta Imam Syafie dan Imam Ahmad ra. Pendapat ini berdalilkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibn. Abbas ra yang menyebut bahawa ;

كان لا يعرف فصل السورة حتى ينزل عليه بسم الله الرحمن الرحيم

“ Sesungguhnya baginda nabi salallahualaihiwasalam tidaklah mengetahui fasal setiap surah (perbezaan antara surah-surah) sehinggalah diturunkan kepadanya bismillahirahmanirahim” (Hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 788 & Hakim no. 123 Jilid 1).

Manakala Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula mengatakan ianya bukanlah ayat dari Al-Fatihah dan bukanlah pula ayat permulaan dari mana-mana surah dalam Al-Quran. Namun pendapat ini lemah dan tidak kuat kerana terdapat dalil yang kuat yang membuktikan bahawa bismillah termasuk dalam Surah Al-Fatihah seperti yang terdapat dalam hadith yang diriwayatkan dari Ummu Salamah ra yang menyebut :

كانرسول الله صلى الله عليه وسلم يقطع قرأته بسم الله الرحمن الرحيم , الحمد الله رب العالمين, الرحمن الرحيم , مالك يوم الدين..

“ Sesungguhnya baginda rasulullah salallahualaihiwasalam membaca (Al-Fatihah) secara satu persatu dengan menyebut “ Bismillahirahmanirahim, Alhamdulillahirabbil Alamin, Ar-rahmanirahim, Malikiyaumidin.(Hadith Sahih, riwayat Ahmad no. 302 Jilid 6, Abu Daud no. 4001, Hakim no. 231 Jilid 1 dan Daruquthni no. 313 Jilid 1).

Pengertian Bismillah بِسمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Secara bahasa ianya diterjemahkan sebagai “ Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.(lihat Al-Quran dan terjemahnya cetakan Indonesia m/s 5). Manakala dari sudut pemahaman ayat ini mengandungi nama dan sifat bagi Allah swt.

الله (Allah) – Merupakan nama bagi tuhan Yang Maha Esa dan Agung. Disebut sendiri oleh Allah akan nama-Nya ini dalam pelbagai ayat dan surah dalam Al-Quran.

هُوَ ٱللَّهُ ٱلَّذِي لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ هُوَ عَالِمُ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَادَةِ هُوَ ٱلرَّحْمَـٰنُ ٱلرَّحِيمُ

“ Dan Dialah Allah, yang tiada tuhan (Yang berhak disembah) selain Dia, yang Mengetahui perkara Ghaib dan yang Nyata dan Dialah Maha Pengasih dan Maha penyayang” (Surah Al-Hasyr : 22).

Nama Allah juga merupakan salah satu dari nama-nama-Nya yang disebut oleh baginda Nabi Salallahualaihiwasalam dalam sabda-Nya :

ان لله تسعة و تسعين اسما , مائة الا واحدا من أحصاها دخل الجنة

“ Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama, seratus kurang satu dan barangsiapa yang membilangnya (mengimaninya) akan masuk syurga” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.2736 , Muslim no. 2677 dan Tirmidzi no. 3506).

الرحمن الرحيم - Ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) dan Ar-Rahim (Maha Penyayang).

Merupakan 2 nama dan sifat bagi Allah yang berasal dari perkataan الرحمن (Ar-Rahman). Ar-Rahman ialah nama bagi Allah yang khusus dan merupakan sifatnya yang terpuji. Menurut para ulama’ Ar-Rahman ialah sifat Allah untuk hamba-Nya di dunia sebagaimana dari riwayat Abd. Rahman bin Auf ra bahawa beliau pernah mendengar baginda rasul salallahualaihiwasalam bersabda bahawa Allah swt berfirman :

قال الله تعالى انا الرحمن خلقت الرحم

“Aku ini Ar- Rahman (pengasih) dan aku yang menjadikan Rahim (kasih sayang)” (Hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 1694 dan Tirmidzi no. 1907).

Iaitu Sifat Ar-Rahman Allah digunakan kepada hamba-Nya di dunia sebagai tanda ihsan dan kemurahan Allah kepada hamba-Nya apabila Dia menciptakan di dunia kasih sayang supaya manusia dapat saling bergantung dan hidup dengan bahagia.

Manakala sifat Ar-Rahim pula merupakan sifat khas Allah buat hamba-Nya yang beriman sebagai ganjaran kepada mereka di dunia dan akhirat. Seperti dalam firman-Nya :

وَكَانَ بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَحِيماً

“ Dan sesungguhnya Dia (Allah) sangatlah Penyayang kepada orang-orang yang beriman” (Surah Al-Ahzab : 43).

Menurut Abu Ali Al-Fasi menyatakan bahawa Ar-Rahman merupakan nama Allah yang khas dan tidak dimiliki oleh sesiapa pun dan hanya khusus pada Allah adapun rahim diberikan kepada makhluk untuk memilikinya. Nama Ar-Rahman terdapat banyak dalam Al-Quran seperti ayat :

قُلِ ٱدْعُواْ ٱللَّهَ أَوِ ٱدْعُواْ ٱلرَّحْمَـٰنَ أَيّاً مَّا تَدْعُواْ فَلَهُ ٱلأَسْمَآءَ ٱلْحُسْنَىٰ

“ Dan serulah Allah atau serulah dengan nama-Nya Ar-Rahman baik mana sahaja yang kamu seru sesungguhnya Dia mempunyai nama-nama yang baik (indah)” (Surah Al-Isra : 110).

Dalam ayat di atas, Allah menyamakan kesucian nama-Nya Allah dengan Ar-Rahman dan para ulama’ menyebut ianya sebagai tanda pengkhususan buat Allah swt (lihat dalam Fathul Qadir m/s 81 Jilid 1).

Adapun mengenai nama Ar-Rahim (Maha Penyayang) maka para ulama’ menyebut ianya merupakan sifat dan nama Allah yang berasal dari Sifat Ar-Rahman (Maha Pengasih) yang dimiliki-Nya. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa Nabi Muhammad Salallahualaihiwasalam pernah bersabda :

ان الله عز وجل مائة رحمة , فمنها رحمة يتراحم بها الخلق بينهم وتسعة و تسعين ليوم القيامة

“ Sesungguhnya Allah Yang Maha Gagah lagi Maha Tinggi mempunyai seratus rahmat, dan satu dari bahagian rahmat-Nya itulah yang diberikan kepada makhluk-Nya di dunia manakala baki sembilan puluh sembilan rahmat-Nya yang lain adalah untuk hari Akhirat (kepada hamba-Nya yang beriman)” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 6000 , Muslim no. 2752 dan Ahmad no 439 Jilid 5 serta Ibn Majah no. 4293).

Menurut ulama’ dengan rahmat Allah yang satu itulah yang diberikan kepada hamba-Nya di dunia ini maka dengannya dapatlah manusia dan jin dan binatang serta sekalian makhluk yang lain hidup mesra dengan aman damai dan ibu mengasihi anaknya, wujudnya cinta dan sayang dan rasa kasih sesama manusia dengan rahmat Allah yang satu itu.

Manakala baki 99 rahmat–Nya yang lain merupakan simpanan yang hanya akan diberikan kepada hamba-Nya yang beriman di akhirat lalu bayangkanlah betapa besar ganjaran rahmat-Nya yang menanti mereka yang beriman ?.

Membaca Bismillah dalam Solat

Mengenai bacaan bismillah dalam solat maka para ulama’ terbahagi kepada 3 golongan. Sesiapa yang mengatakan bismillah termasuk dalam surah Al-Fatihah maka mereka membaca bismillah dalam solat kerana menganggap membacanya wajib. Manakala golongan yang mengatakan bismillah bukan sebahagian dari Al-fatihah maka mereka tidak membacanya dalam solat kerana ianya menganggap ianya tidaklah wajib (Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 29 Jilid 1).

Jumhur ulama’ mengatakan ianya adalah sebahagian dari Al-Fatihah dan telah pun kita bahaskan secara ringkas pada awal tafsir bismillah. Maka demikianlah pendapat yang paling tepat ialah bismillah termasuk dalam surah Al-Fatihah dan wajib membacanya dalam solat. Walaubagaimanapun ulama’ berselisih dalam cara membacanya adakah dibuat secara jahar (lantang) atau dibaca secara sirr (perlahan).

Menurut Imam Syafie, ianya dibaca secara jahar (lantang) bersama Al-Fatihah (bersama ayat- ayat yang lain). Dan demikianlah diriwayatkan bahawa pendapat ini sama dengan apa yang dipegang oleh sebahagian para sahabat, tabien dan imam-imam salaf seperti Khulafah Ar-Rasyidun, Abu Hurairah, Ibn. Abbas, Ibn. Umar, dan Muawiyah ra seperti yang diriwayatkan oleh Baihaqi dan Ibn Abd Barr namun riwayat ini gharib (dhaif iaitu lemah).

Begitulah kebanyakan hadith-hadith dan dalil yang membawa riwayat dibaca bismillah secara jahar (lantang) kebanyakannya dhaif (lemah). Seperti hadith yang dinisbahkan kepada riwayat Ummul Salamah ra yang dikatakan pernah menyebut bahawa nabi salallahualaihiwasalam :

قرأ البسملة فى أول الفاتحة وعّدها أية

“ Membaca bismillah pada awal Al-Fatihah dan membilangnya sebagai salah satu ayat dari Al-Fatihah” (Hadith Dhaif (lemah), riwayat Ibn. Khuzaimah no. 493).

Riwayat ini pada isnadnya dhaif (padanya ada perawi bernama Amru bin Harun merupakan dhaif ) maka ianya tidak dapat dipercayai sebagai membawa khabar dari nabi salallahualaihiwasalam dan tidak terpakai dalam feqah.

Begitu juga dalam hadith yang lain yang kononnya dikatakan diriwayatkan dari Ibn Abbas yang menyebut bahawa baginda salallahualaihiwasalam :

كان يجهر ببسم الله الرحمن الرحيم

“Sesungguhnya baginda menjaharkan (melantangkan) membaca bismillah dalam solat” (Hadith Dhaif, riwayat Hakim no.208 Jilid 1). Hadith ini tersangatlah dhaif (dhaif Jiddan) dan tidak patut disebut sebagai hadith dan dinisbahkan kepada Ibn Abbas dan rasulullah salallahualaihiwasalam.

Para ulama’ menetapkan hadith dhaif tidak boleh dibuat hujah dalam perkara feqah dan ibadah kepada Allah kerana yang dimaksudkan dhaif (lemah) itu ialah hadith yang tidak mempunyai sifat-sifat hadith sahih dan hasan yakni hadith itu mempunyai kecacatan dan kesalahan atau keburukan pada riwayatnya (lihat Ma’rifah Anwa’ul Ilmu Hadith oleh Ibn Solah m/s 30).

Sama ada riwayat itu terputus sanad (yakni perawi tertentu meriwayatkan hadith itu sedangkan antara dia dan orang yang didakwa memberikan hadith itu padanya jauh beza jarak masanya sebagai contoh sehingga mencapai 20 tahun iaitu setelah orang itu meninggal dunia lebih dari 20 tahun barulah perawi ini lahir dan kemudiannya mengaku menerima hadith dari orang yang telah 20 tahun lebih meninggal dunia sebelum dia lahir lalu bagaimana hadith begini boleh diterima ?) .

Atau dhaif juga disebabkan oleh kerana perawi itu sendiri dianggap oleh para ulama’ sezaman dengannya sebagai pendusta dan pembohong, fasiq atau ahli maksiat lalu jika demikian sekalipun bagaimana mungkin kita boleh menerima hadith yang diriwayatkan oleh orang sebegini ? Mempercayai hadith (agama) yang membawa hukum dan hakam dari seorang yang dikenali sebagai pembohong ?

Cumanya para ulama yang membenarkan penggunaan hadith dhaif sebagai hujah ialah apabila dhaifnya tidak keterlaluan iaitu apabila hadith itu dhaif disebabkan perawinya dhaif kerana dikenali sebagai jujur dan soleh namun kurang kuat ingatan atau agak pelupa maka didhaifkan (dilemahkan riwayat darinya) oleh para ulama’ kerana menjaga agama ini dari kesilapan dan tersalah lalu bagaimana boleh muncul golongan yang mendakwa tidak mengapa beramal dengan hadith dhaif ? (lihat Muqadimah kitab Sahih Tar’qib Wa Tarhib li Imam Hafiz Al-Munziri oleh Muhadith Syeikh Nasiruddin Al-bani).

Manakala menurut riwayat yang sahih, bahawa para khulafah ar-rasyidun, para sahabat dan ulama’ salaf terdahulu tidaklah menjaharkan bismillah (membaca secara kuat) dan pendapat inilah yang paling tepat dan benar seperti apa yang diriwayatkan dari hadith Abdullah ibn Maq’fal dan sekumpulan sahabat dan dipegang oleh Sufyan As-Sauri , Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad Ibn Hambal ra. Pendapat ini jelas bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik dan Abdullah Bin Maq’fal yang menyebut :

صليت خلف النبي صلى الله عليه وسلم وابى بكر و عمر و عثمان فكانوا يفتتحون بالحمد لله رب العالمين

“ Aku bersolat dibelakang nabi salallahualaihiwasalam dan Abu Bakar serta Umar dan Usman dan sesungguhnya mereka memulakan solat dengan membaca Alhamdulillahi rabbil Alamin (Segala puji hanya bagi Allah tuhan sekalian Alam)” (Hadith Sahih riwayat Bukhari no. 743, Muslim no. 399, Abu Daud no. 782 ).

Dan wujud penambahan pada hadith yang diriwayatkan oleh Muslim yang menyebut “Dengan tidak membaca bismillah pada awalnya dan akhirnya” (lihat hadith riwayat Muslim no. 399 dan kitab Minhaj Syarah Sahih Muslim oleh Imam Nawawi).

Bagi Imam Malik ra mengatakan tidak dibaca bismillah secara keseluruhan baik secara jahar (lantang) dan secara sirr (perlahan) dengan berhujah menggunakan hadith yang sahih dari riwayat Ummul Mukminin Aisyah ra yang berkata bahawa “Sesunggguhnya rasulullah salallahualaihiwasalam memulakan solat dengan takbir dan membaca alhamdulillahirabil alamin iaitu tanpa membaca bismillah” (riwayat Muslim no. 498, Abu Daud no. 783 dan Ibn Majah no 812).

Namun pendapat Imam Malik ra tidaklah tepat kerana terdapat dalam hadith yang lain yang menyebut baginda membaca bismillah sebagai bukti bahawa ianya termasuk dalam surah Al-Fatihah. Oleh yang demikian mustahil ianya tidak dibaca kerana Al-Fatihah itu wajib dibaca dalam solat dan bismillah termasuk surah Al-Fatihah.

Maka kerana itulah para ulama’ bersepakat menyatakan ianya dibaca namun secara sirr (perlahan) dan kerana itu dapatlah difahami mengapa diriwayatkan oleh hadith-hadith yang sahih bahawa nabi salallahualaihiwasalam memulakan Al-Fatihah dengan Alhamdulillahirabbil alamin kerana bismillah telah dibaca secara sirr (perlahan) dan inilah sebaik-baik pendapat dan dianggap paling tepat (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 320 Jilid 1).

bersambung.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan