Khamis, 12 Mei 2011

Amalan Songsang Yang Selalu Dibuat

Pernahkah anda bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan seharian. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain.

Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.

Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan dia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau dia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si mati, kita patut memberi sedekah dan kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara atau majlis-majlis rasmi, kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah mahu pun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan dijamu makan, kita rasa segan nak makan, malu-malu kucing kononnya malu dan beradab, sedangkan yang dituntut tetamu harus banyakkan makan dan habiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir. Perangai tinggal makanan tak habis dah jadi budaya orang kita.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak dan solat fardhu yang digalakkan berjemaah di masjid.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan, tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam, akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik?

8. Semua ibu bapa amat bimbang kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah anak ke kelas tuisyen walaupun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Al-Quran atau tak pandai hukum hakam agama, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen mengaji Al-Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM70.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM50.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al-Quran atau solat dari tidak lulus peperiksaan.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak memperhambakan diri padaNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah, pakai kain batik atau biasa-biasa saja. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Sumber ; syahirul.com - pencarian satu identiti

Isnin, 9 Mei 2011

Tafsir surah al-Fatihah

Alhamdulillahirabbil Alamin

Syarah Ayat الْحَمدُلِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ {2}

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, tuhan seluruh alam

Ayat ini merupakan ayat yang mulia dan indah kerana padanya memberi puji dan penghargaan buat Allah tuhan sekalian alam. Padanya wujud unsur ta’abud (pengibadatan) dan ta’zim (mengagungkan) tas’na (mensucikan) kepada Allah swt serta mengiktiraf ketuhanan dan kekuasaan-Nya yang menyeliputi seluruh hidup dan mati makhluk serta alam dan isinya.

Pujian dan syukur yang tertinggi secara khusus dan mutlak hanya pada Allah swt dengan pujian dan syukur yang mengatasi sesuatu yang dikhususkan hanya pada-Nya.

Dibaca ayat ini tidak hanya pada Al-Fatihah dan di dalam solat bahkan dibaca ia di dalam majlis, doa dan setiap khutbah serta ucapan kebesaran yang memuji Allah. Mengenainya para ulama’ bersepakat bahawa menjadi sunnah dan anjuran kepada manusia melazimi dengan ayat ini dan menjadi pembuka dalam doa kerana ianya disebut dalam hadith riwayat Jabir ibn Abdulllah ra bahawa nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda :

أفضل الذكر لا اله الا الله و أفضل الدعاء الحمدلله

“ Sebaik-baik zikir ialah la ilaha ila Allah dan sebaik-baik doa ialah alhamdulillah” (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no. 3383 dan Ibn Majah no. 3800 dan Nasaie no. 831).

Pengertian Ayat لله رب العالمين الحمد

Menurut makna bahasa, ianya difahami sebagai “ Segala puji hanya bagi Allah tuhan seluruh alam” (lihat Al-Quran dan terjemahnya cetakan Indonesia m/s 5). Sesungguhnya dalam memahami maknanya yang cukup luas para ulama menyebut ayat ini sangatlah mendalam dan membawa maksud yang panjang.

Padanya letak puji-pujian bagi Allah yang merupakan perkara ibadah bagi hamba kepada Allah tuhan yang Esa, padanya juga wujud syukur dan terima kasih atas rahmat-Nya sebagai penghargaan dari hamba, dan padanya juga wujud kalimah رب العالمين rabbil alamin yang membawa maksud tuhan yang menguasai alam semesta dan alam seluruhnya yang dapat difahami dengan ilmu dan pemerhatian.

الحمد لله Alhamdulillah, (Segala puji (syukur) hanya bagi Allah).

Pada ayat ini, Allah menyebut akan pujian dan syukur kepada Zat-Nya sebagai mengajar manusia dan makhluk seluruhnya akan kalimah mulia yang diredhai-Nya ini sebagaimana yang terdapat dalam atsar dari sahabat (riwayat dari sahabat) bahawa Umar ra pernah bertanya kepada Ali ra apakah yang dimaksudkan dengan الحمد لله maka dijawab oleh Ali bahawa ianya :

كلمة رضيها الله لنفسه..

Kalimah yang diredhai oleh Allah untuk disebut pada zat-Nya”.

Manakala dalam riwayat Ibn. Abbas ra pula menyebut bahawa

الحمد لله رب العالمين

ialah bermaksud segala puji hanya bagi Allah atas nikmat dan rahmat-Nya serta kekuasaan-Nya (lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 35 Jilid 1).

Pada ayat ini juga membawa makna syukur dan penghargaan pada nikmat dan rahmat yang diberikan oleh Allah swt bahkan dalam hadith yang lain yang diriwayatkan dari Anas bin Malik ra berkata bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang menyebut :

ما أنعم الله على عبد نعمة فقل الحمد لله الا كان الذي أعطى أفضل مما أخذ

“ Dan tidaklah apa yang diberikan Allah kepada hamba-Nya (nikmat atau rezeki) dan hamba itu mengucapkan “ Segala puji bagi Allah” –(syukur) melainkan apa yang diberikan itu lebih baik dari apa yang diambil darinya” (Hadith Hasan, riwayat Ibn Majah no. 3805).

Iaitu segala nikmat yang diberikan oleh Allah swt kepada hamba-Nya apabila hamba itu bersyukur dengan mengucapkan Alhamdulillah maka segala nikmat yang diberikan itu lebih baik dan afdhal dari nikmat yang telah ditarik dan diambil kembali.

Menyebut perihal syukur kepada Allah, marilah kita melihat nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Mulai sejak lahir, manusia telah dibekalkan dengan pelbagai keajaiban dan anugerah yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ciptaan lain. Lihat sahaja bayi kecil dalam kandungan ibunya, hidup dengan bergantung kepada saluran uri (talian pusat dari perut ibu) yang membekalkan makanan kepadanya dan di dalam perut ibu itu dia mampu distabilkan dari kesejukan dengan suhu badan ibunya yang memanaskan dan menghangatkannya dari kesejukan sedang dia tidak berpakaian.

Siapakah yang mencipta sistem ini ? Genius manakah atau doktor manakah atau pun adakah si ibu sendiri yang merancang untuk menjadikan bayinya sekian dan sekian ? merancang untuk menjadikan bayinya lelaki atau perempuan, mempunyai genetik sekian, warna kulit sekian atau Allah yang Maha Kuasa dan Bijaksana ? Sudah tentu hanya Dia (Allah) pencipta yang Esa yang mampu menjadikan semua yang mustahil ini kepada logik dan terjadi. Lihat sahaja jari kita dijadikan 5 batang, pasti mempunyai hikmahnya. Bayangkan jari kita hanya 3 atau lebih lalu bagaimanakah keadaannya ? Begitu juga dijadikan Allah jari-jari itu tidak sama panjang dan tidak sama bentuknya sebagai memudahkan kita dan menurut pakar sains bentuk jari manusia merupakan bentuk terbaik dan paling efisyen untuk sebarang pergerakan dan aplikasi dibanding bentuk-bentuk lain.

Maha suci Allah yang memberikan nikmat kepada manusia dengan tidak terhingga. Nikmat penglihatan, nikmat pendengaran dan pancaindera kesemuanya serta nikmat kesihatan, nikmat rezeki dan makanan. Bayangkan bagaimana manusia mampu menghasilkan beras dari padi ? Mengeluarkan ikan dari lautan dalam, menumbuhkan buah-buahan dan bijirin dari benih ? Siapakah yang memberi pengetahuan ini ataukah manusia sendiri yang menerokainya ? Nikmat akal dan pengetahuan dan lain-lain nikmat yang semuanya diberikan oleh Allah swt kepada manusia.

Namun dalam menafsirkan ayat الحمد لله ini dari sudut kesyukuran kepada Allah swt, para ulama’ menyatakan tidak wujud nikmat yang lebih besar dari segala nikmat yang tidak semua manusia mampu dan dapat menerima nikmat tersebut iaitu nikmat Iman dan Islam. Dari kerana nikmat inilah yang menyebabkan seseorang insan itu bahagia atau celaka di akhirat yang kekal selamanya.

Dunia hanya sementara, biar nikmat dunia dan segala isinya dimiliki namun ianya sementara, paling lama manusia mampu untuk hidup Cuma sekadar 70 sehingga 100 tahun. Seterusnya menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi lalu tidak berbaloi segala nikmat dunia dibanding derita dan siksa akhirat juga sebaliknya tidak berapa sangatlah penderitaan dunia di banding dengan balasan nikmat syurga dan kebahagian yang abadi.

Pada ayat ini sebenarnya ianya mempunyai kesinambungan dengan ayat-ayat yang sebelumnya. Bahkan ianya mempunyai maksud yang mendalam, Surah ini iaitu Al-Fatihah secara kebiasaannya dibaca bukanlah oleh orang yang kafir atau yang tidak beriman, bahkan oleh mereka yang sudah mendapat nikmat Islam dan Iman.

Surah ini dijadikan sebagai rukun solat dan dibaca sebanyak 17 kali sehari dalam setiap rakaat bagi solat fardhu. Hanya Allah yang mengetahui rahsianya namun kita dapat memahami betapa pada ayat ini Allah menyuruh kita memuji-Nya dan bersyukur sebanyak-banyaknya dengan pembacaan ayat ini lantaran telah dianugerahi-Nya nikmat terbesar kepada kita iaitu nikmat Iman dan Islam.

Kerana perintah memuji dan mensyukuri nikmat Allah adalah wajib kepada setiap yang beriman sebagaimana firman-Nya :

لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“ Dan jika kamu bersyukur kepada Aku (Allah) maka Aku pasti akan menambah nikmat-Ku dan jika kamu kufur maka azabKu amatlah pedih” (Surah Ibrahim : 7).

Sudah tentu sahaja kita wajib bersyukur kerana pada diri kita dikurniakan Allah anugerah yang paling tinggi nilainya di alam ini iaitu nikmat dan anugerah Iman dan Islam yang lebih mahal dari segala harta pangkat dan isi dunia. Oleh yang demikian, Maha Suci Allah lagi Maha Bijaksana telah mengajar kita supaya mensyukuri-Nya melalui ayat ini sebagai salah satu cara dalam bacaan solat sebagai menunaikan kewajipan sebagai hamba kepada-Nya.

Amat malanglah bagi mereka yang bersolat namun lalai sebagaimana yang disebut oleh Allah swt :

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ ٱلَّذِينَ هُمْ عَن صَلاَتِهِمْ سَاهُونَ

“ Maka celakalah bagi mereka yang bersolat iaitu bagi mereka yang solat dengan keadaan lalai” (Surah Al-Ma’un : 4-5). Maka para ulama’ menyebut antara maksud lalai ialah menunaikan solat dalam keadaan tidak memahami apa yang dibaca seolah mereka mempermainkan Allah dalam ucapan mereka apabila memuji Allah tapi hati mereka tidak demikian lantaran tidak memahami apa yang dibaca (lihat Fathul Qadir m/s 674 Jilid 5).

رب العالمين – Rabbil Alamin, (Tuhan seluruh Alam).

Disebut oleh Ibn Abbas yang dimaksudkan dengan رب العالمين ialah tuhan pencipta langit dan bumi serta pengatur dan pentadbir seluruh alam baik yang diketahui oleh makhluk mahupun yang tidak diketahui. Menafsirkan ayat ini merujuk kepada firman Allah dalam ayat yang lain seperti kisah pertanyaan Firaun kepada Nabi Allah Musa as :

قَالَ فِرْعَوْنُ وَمَا رَبُّ ٱلْعَالَمِينَ * قَالَ رَبُّ ٱلسَّمَاوَاتِ وَٱلأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِن كُنتُمْ مُّوقِنِينَ

“ Dan bertanyalah Firaun, Apakah rabbul alamin (tuhan sekalian Alam )? Maka Musa menjawab “Tuhan yang menguasai langit dan bumi dan apa-apa yang di antara keduanya”, demikianlah kenyataan jika kamu mempercayai-Nya” (Surah As-Syu’ara : 23).

Maka kita akan mendapati bahawa Rabbul Alamin itu ialah pentadbir penguasa yang menguasai langit dan bumi serta apa-apa yang terdapat di antara keduanya yang bererti segala-galanya.

Sesungguhnya perkataan Rabbul Alamin ini merupakan salah satu dari nama Allah jika menurut pendapat sebahagian ulama’ iaitu pada kalimah رب yang bermaksud pengatur dan pentadbir bagi seluruh alam dan makhluk. Berkata Ibn. Abbas ra bahawa العالمين mencakupi seluruh alam termasuk jin dan manusia dan menyebut “Sesungguhnya Dialah (Allah) pencipta segala-galanya langit dan bumi seluruhnya serta setiap sesuatu tanpa kecuali baik yang diketahui mahupun yang tidak diketahui”, seperti yang diriwayatkan melalui Ibn. Jubair dan Ibn Abi Hatim pada tafsir ayat ini (Fathul Qadir m/s 87 Jilid 1).

Menanggapi kekuasaan Allah dan kehebatan pentadbiran-Nya yang tiada tandingan mungkin akan lebih jelas kepada kita jika banyak membuat pemerhatian kepada alam semesta dan melihat kebesaran Allah melalui penciptaan dan kejadian alam. Sebagai contoh kecil, cukup sahaja mengambil hujan sebagai iktibar, dalam Al-Quran menyebut firman-Nya :

وَٱلَّذِي نَزَّلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً بِقَدَرٍ فَأَنشَرْنَا بِهِ بَلْدَةً مَّيْتاً

“ Dan (Allah) yang menurunkan air dari langit (hujan) dengan kadar yang tertentu lalu kami hidupkan dengan air itu (hujan) bumi yang mati” (Surah Az-Zukhruf :11).

Para saintis telah membuat kajian dan menemui keajaiban mengenai hujan. Dianggarkan menurut kajian dan menggunakan kelengkapan moden bahawa kuantiti air yang mengewap dari permukaan bumi bagi setiap saat ialah sebanyak 16 juta tan air. Lalu dalam setahun akan menghasilkan air yang mengewap sebanyak lebih kurang 513 juta billion tan dan air yang mengewap inilah yang akan menghasilkan hujan apabila berlaku proses penghasilan hujan.

Alangkah ajaibnya dan mengejutkan pakar sains apabila angka ini sama dengan jumlah kuantiti hujan yang turun ke bumi bagi tempoh setahun. Ini bererti air dari bumi dikitarkan secara seimbang dan berterusan dalam satu kitaran tertentu seperti yang disebut dalam Al-Quran dengan kadar yang tertentu” (Surah Az-Zukhruf :11).

Sekalipun mengunakan kemajuan sains dan kecangihan teknologi, manusia tetap mustahil mampu melakukan kitaran alam semulajadi ini secara seimbang dan bertepatan dengan kadar yang diperlukan. Bayangkan jika air yang mengewap dari permukaan bumi tidak sama dengan hujan yang turun walau hanya berbeza sedikit pun sudah cukup untuk memberi kesan kepada suhu, hidupan tumbuhan, laut dan tanah tanih serta makhluk lainnya.

Antara lain bukti Dia (Allah) sebagai rabbul Alamin (pentadbir & pencipta seluruh alam) juga dapat kita perhatikan dalam firman-Nya :

أَفَلاَ يَنظُرُونَ إِلَى ٱلإِبْلِ كَيْفَ خُلِقَتْ

“Apakah kamu tidak melihat kepada unta bagaimana ianya diciptakan (oleh kami) ?” (Surah Al-Ghashiyah : 17).

Para ahli sains yang mengkaji Al-Quran sudah ramai yang memeluk Islam dan menerima Al-Quran sebagai satu keajaiban dan mukjizat. Lihatlah unta mengapa Allah menyebutnya dalam Al-Quran ? Pasti ianya mempunyai hikmah tertentu dan jawapannya sudah pasti. Unta menurut kajian pakar sains merupakan satu binatang yang mengkagumkan. Unta mampu hidup tanpa makan dan minum selama lapan hari dengan suhu persekitaran yang panas sehingga mencapai 50 darjah celcius. Manusia biasanya akan mati jika kekurangan air dari badan sebanyak 12 % tapi unta mampu mengalami kehilangan air dari badan sebanyak 40 % dari keseluruhan air dalam badan.

Badan makhluk ini cukup unik apabila mampu meminimumkan penggunaan air dalam badan dan juga mampu menstabilkan suhu badan menurut persekitaran di padang pasir. Dalam masa 10 minit unta mampu meminum air sehingga 130 liter sehingga seolah badannya merupakan tong air yang besar. Hidungnya begitu unik kerana terdapat bendalir yang berstruktur tertentu sehingga mampu menyerap wap air di udara melebihi 66 %. Rambutnya yang tebal melindunginya dari panas yang membakar dan juga dari kesejukan di tengah malam di padang pasir. Struktur badan, kebolehan dan kemampuan yang dimilikinya ini dari manakah datangnya ? Adakah unta sendiri yang mereka cipta tubuh badannya demi menyesuaikan dirinya dengan habitatnya ? Jawabnya tentu sekali tidak dan sudah pasti hanya Dia (Allah) yang mampu berbuat sedemikian dan Dialah (Allah) sebenar-benar Rabbul Alamin (Pentadbir dan Penguasa Seluruh Alam).